Kapsul
KAPSUL merupakan sebuah penerbitan filem cereka bergenrekan fiksyen, diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Perdana Menteri Menteri Ke-4, Yang Amat Berbahagia (YABhg.) Tun Dr. Mahathir Mohamad. Idea filem ini adalah hasil intepretasi penulis tentang bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul tersebut mengenai amanat Tun Dr. Mahathir menjelang tahun 2020.
Filem ini merupakan satu idea bercita-cita besar dan cubaan berani gabungan di antara penulis/pengarah serta penerbit mengangkat detik-detik sejarah perjuangan orang Melayu membangunkan negara merentasi zaman dan dipersembahkan ke layar perak dalam bentuk yang agak kontemporari berbeza dengan filem-filem berasaskan sejarah yang lain.
Memandangkan sambutan dingin penonton terhadap pasaran filem-filem sejarah di negara ini serta rekod kutipan jualan tiket yang kurang memberangsangkan untuk filem sebegini, KAPSUL cuba memberikan kelainan dalam persembahannya dengan suntikan elemen-elemen moden menerusi teknologi imej janaan computer (CGI) serta plot cerita yang jarang dilihat dalam penerbitan filem mahupun drama di negara ini.
KAPSUL mengisahkan perjalanan hidup seorang anak Melayu yang hidup di zaman serba moden ini tetapi berpeluang menelusuri masa lampau melangkaui beberapa dekad bagi melihat sendiri perjuangan orang Melayu yang penuh dengan jalan berliku serta ranjau dan duri demi membangunkan sebuah negara bernama Malaysia.
Justeru itu, KAPSUL mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri dengan kemampuannya mengangkat mesej-mesej berat tetapi dipersembahkan mengikut trend terkini bagi menarik lebih ramai generasi muda menghayati sejarah perjuangan serta survival bangsa melalui filem fiksyen.
There are no reviews yet.